Tugasan TM3 SJHK 3033 by SEJSJK0621 Tiong Hieng Kung

Ahli Kumpulan : Chia Li Lian, Tiong Hieng Kung, Liew Kui Chin
Dari aspek fakta VS Mitis-Legendaris, menurut R.Roolvink, pensejarahan tradisional Melayu terpecah kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama yang penuh dengan mitis-legendaris iaitu hal-hal berkait dengan mitos dan lagenda dan bahagian kedua yang lebih bersifat sejarah. Oleh itu, pensejarahan tradisional Melayu dilihat bercampur baur di antara perkara mitos dan lagenda yang tidak diterima dalam sejarah serta fakta sejarah yang terselindung di sebalik hal-hal yang bersifat mitos dan lagenda tersebut. Berbeza pula dengan konsep pensejarahan Barat, penulisan pensejarahannya dilihat lebih berfokus dan berpandu kepada fakta sejarah dan pembuktiannya. Pensejarahan Barat menolak penulisan yang berbentuk lagenda dan mitos dalam penulisan seseorang sejarawan.

Dari aspek genre penulisan pula, antara sumber pensejarahan Melayu tradisional yang penting adalah karya kesusasteraan Melayu tradisional yang meliputi pelbagai genre penulisan seperti sastera kitab (keagamaan), undang-undang Melayu lama, epik, pelbagai bentuk puisi, pelbagai cabang sastera rakyat (penglipur lara, cerita jenaka, teladan dll) serta sastera istana. Penulisan pensejarahan Barat pula dibuat dalam bentuk penulisan naratif dan deskriptif yang bercorak ilmiah.

Dari aspek tema penulisan, tema penulisan dalam penulisan pensejarahan tradisional Melayu tidak lari daripada membicarakan soal salasilah keturunan raja-raja, naratif berkaitan dengan jatuh bangun sesebuah kerajaan serta aturan dan perjalanan sesebuah kerajaan.  Apabila pengaruh kolonial Inggeris mula menguasai Tanah Melayu, tema penulisan sejarah kolonial mulai meluas. Tema penulisan sejarah di Tanah Melayu pada ketika itu termasuklah sejarah pentadbiran British di Tanah Melayu, sejarah yang berkait dengan masyarakat, budaya, bahasa dan sebagainya. Para pegawai kolonial mengkaji hal-hal berkaitan teks kesusasteraan Melayu, bahasa dan ilmu-ilmu dalam bahasa Melayu, kepercayaan, adat-resam, agama dan corak kehidupan masyarakat di Tanah Melayu.

Dari aspek penggunaan tarikh dan kronologi pula, karya pensejarahan tradisional Melayu tidak mementingkan penggunaan tarikh dan kronologi dalam penulisan mereka. Hanya karya pensejarahan Melayu seperti Tuhfat al-Nafis, Misa Melayu dan Undang-undang Kedah yang mencatatkan penggunaan tarikh dalam penulisan mereka. Dalam penulisan sejarah kolonial, penggunaan tarikh adalah amat penting dan tarikh adalah merupakan sebahagian daripada fakta sejarah.

Dari aspek bersifat kajian dan penggunaan sumber, karya-karya pensejarahan tradisional Melayu dibuat tanpa kajian dan lebih berpandukan kepada pemikiran dan intelek para penulisnya. Walaupun sebahagian penulisan pensejarahan Melayu dilihat mengambil sumber-sumber daripada penulisan lain untuk dimuatkan dalam penulisan mereka, pernyataan sumber tidak dinyatakan dalam penulisan mereka. Contohnya, penulisan Bustanus Salatin yang menggalurkan kembali sejarah raja-raja Melayu semestinya merujuk sumber seperti Sejarah Melayu atau sumber Pahang dalam penulisannya, akan tetapi penulisnya, Syeikh Nuruddin al-Raniri tidak menjelaskan mengenai sumber penulisannya. Berbeza dengan penulisan kolonial, penggunaan sumber dinyatakan secara jelas seperti penulisan Frank Swettenham (1907) dalam bukunya British Malaya yang menceritakan mengenai kemasukan pengaruh kolonial dan pentadbirannya di Tanah Melayu yang diambil daripada rekod-rekod kerajaan Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sesuai dengan kedudukannya sebagai Gabenor NNMB sebelumnya. Selain itu, dalam melakukan kajian terhadap amalan dan kepercayaan tertentu masyarakat Melayu, para pengkaji kolonial sanggup menemui orang-orang sumber bagi mendapatkan fakta penulisan yang tepat seperti R.O Winstedt yang melakukan kajian terhadap amalan perbomohan dan upacara keramat dalam kalangan masyarakat Melayu. Beliau telah melihat sendiri ritual-ritual perbomohan di Tanah Melayu pada masa tersebut sebelum menulis hasil kajiannya iaitu Shaman, Saiva and Sufi: A Study of the Evolution of Malay Magic yang diterbitkan pada tahun 1925. Dalam membantu memahami budaya dan bahasa masyarakat tempatan juga, para penulis kolonial turut mendapatkan bantuan daripada para pemikir tempatan. Contohnya, W.G Shellabear telah mendapatkan bantuan daripada Sulaiman bin Muhammed Nur dalam mengkaji hikayat Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Seri Rama, selain berkerjasama menerbitkan Kitab Kiliran Budi, kitab pepatah Melayu pada tahun 1909.

Dari aspek perbezaan sentrik dan bias pula, dalam pensejarahan Melayu tradisional, kecenderungan penulisannya dilihat berlegar ke arah golongan pemerintah dan istana. Misalnya, Bustanus Salatin karangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilihat cenderung untuk mengagung-agungkan Sultan Acheh pada ketika itu, Sultan Iskandar Thani manakala Tuhfat al-Nafis pula terlalu mengagungkan suku Bugis dalam istana Riau pada ketika itu. Kecenderungan ini berlaku disebabkan oleh keterikatan para penulis dan pujangga istana terhadap titah dan perintah diraja ke atas mereka yang dititahkan untuk menulis kitab-kitab sejarah tersebut. Contohnya, Tun Seri Lanang telah menyelenggara dan melengkapkan kitab Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) atas perintah Yang diPertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu'ayat Syah ibni'l Sultan Abdul Jalil Syah setelah dibawa oleh Orang Kaya Suguh dari Goa/Gowa. Dalam kalangan penulis kolonial pula, kecenderungan mereka menulis pula dapat dilihat melalui penulisan mereka yang bersifat euro-centric. Euro-centric merujuk kepada perspektif dan pemikiran yang melihat semua perkara di dalam dunia ini menerusi perspektif Eropah. Menurut Kamaruddin Md. Said (2007), doktrin euro-centric dalam kalangan pegawai kolonial adalah disebabkan oleh sistem latihan pegawai dan institut pendidikan di Eropah yang menanamkan doktrin bahawa bangsa Eropah adalah bertamadun dan mempunyai martabat yang tinggi berbanding negara-negara jajahan mereka. Sebagai contoh, ketika menulis mengenai penentangan pahlawan tempatan terhadap pentadbiran British di Tanah Melayu seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain, British menganggap mereka sebagai penderhaka sedangkan para penulis tempatan kemudiannya menganggap mereka sebagai seorang pejuang.